Minat permotoran sejak sekolah


Industri automotif tempatan bukan saja rancak dengan kehadiran pelbagai model kereta baru di pasaran malah ia turut memberi peluang kepada pengusaha tempatan meneroka beberapa bidang baru berkaitan.
Ini termasuk inovasi teknologi baru seperti gajet penjimatan minyak yang dapat membantu pengguna menjimatkan penggunaan bahan api kenderaan dan secara tidak langsung memberi nilai tambahan kepada wang mereka.
Antara gajet penjimat minyak yang terdapat di pasaran iaitu MaxPower Revolution (MP-R).
Ia bukan satu jenama baru dalam pasaran Malaysia malah sudah lebih tujuh tahun jenama ini diperkenalkan oleh sebuah syarikat milik penuh Bumiputera iaitu Kilauan Impian Sdn Bhd yang beroperasi di Taiping,
Perak.
Bertemu figura di sebalik jenama itu, Shaharizal Ariffin yang turut menggalas tugas sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat itu baru-baru ini memberi perspektif berbeza buat penulis malah terselit rasa kagum kerana anak muda sepertinya gigih menempuh pelbagai dugaan untuk mencapai ke tahap ini.
Bagi Shaharizal atau lebih senang disapa Shah, MP-R memang memberinya rezeki yang mencurah-curah, tetapi rezeki yang diperoleh bukan datang bergolek.
“Mungkin ada yang hanya melihat kesenangan saya, tetapi sebelum mencapai tahap ini, saya berdepan 1,001 dugaan dan kepayahan yang mungkin tidak mampu dilalui orang lain.
“Saya bukan orang berada. Arwah ayah hanya bekerja di majlis perbandaran untuk menyara keluarga sebelum meninggal dunia ketika saya berusia sembilan tahun dan disebabkan itu perjalanan hidup saya penuh liku.
“Selepas ayah ­meninggal, ibu yang menggalas tugas membesarkan saya dan empat adik-beradik lain dengan pencen arwah ayah sebanyak RM200. Ibu saya juga mengajar kanak-kanak mengaji di kampung ketika itu, namun upah bergantung kepada keikhlasan ibu bapa mereka.
“Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Justeru, kesusahan hidup itu menjadi pengajaran berguna buat saya untuk sentiasa berusaha meningkatkan diri.
“Mungkin disebabkan itu, saya dan adik-beradik saya yakin hanya dengan perniagaan dapat mengubah nasib kami sekeluarga. Oleh itu, selepas tamat belajar, saya mengikut jejak langkah semua abang saya untuk memulakan perniagaan sendiri,” katanya.
Sanggup tebalkan muka
Menurut jejaka berusia 32 tahun ini, sebelum menceburi bidang ini, dia terlebih dulu memulakan perniagaan membekal mesin, cetakan dan rekaan majalah syarikat yang kebanyakannya tender daripada kerajaan.
Bagaimanapun, perniagaannya mula merosot apabila kerajaan tidak lagi mengambil khidmatnya untuk menjimatkan kos dan selama enam bulan dia tidak berbuat apa-apa kerana tidak dapat meneruskan operasi syarikat.
Dia bagaimanapun tidak berputus asa apabila diperkenalkan dengan teknologi penjimat minyak oleh seorang rakan yang juga jurutera dan dari situ, dia mula berminat untuk memasarkan gajet terbabit.
Kebetulan minatnya terhadap dunia permotoran dan pengubahsuaian kenderaan memang ada sejak di bangku sekolah membuat­kan dia cenderung memilih perniagaan sedemikian.
Selepas berjaya membuka perniagaan sendiri, tanpa menoleh ke belakang, Shah menjual sendiri produknya kepada orang ramai.
“Berkat usaha dan kesanggupan menebalkan muka, sedikit demi sedikit saya mendapat pembeli. Yalah, bukan mudah hendak yakinkan orang dengan produk seumpama itu, saya sendiri turun padang dan tidak jemu membuat promosi dan pemasaran di Internet dan seluruh negara.
“Namun, ketika perniagaan baru hendak berkembang, ada masalah pula dengan rakan kongsi me­nyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Mujur, semangat saya kuat dan berbekalkan lebihan
modal yang ada, saya teruskan perniagaan sama,” katanya.
Begitupun, Shah tidak tewas dengan dugaan yang dilaluinya dan berkat usaha tanpa jemu, alat penjimat minyak yang dinamakannya MP-R mula memberi impak positif apabila pelanggannya semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Hanya dalam tempoh dua tahun, jenama berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan pemilik kenderaan, membuatkan permintaan semakin bertambah.
“Strategi pemasaran dan pengiklanan yang saya pilih nampaknya berkesan. Ditambah dengan situasi kenaikan harga minyak, produk ini berjaya menarik perhatian dan kini memiliki lebih 300 ejen dan pengedar syarikat yang aktif,” katanya.
Apa yang dikecapi Shah sememangnya satu kejayaan buat dirinya, tetapi anak bongsu daripada lima beradik itu tidak mahu mendabik dada mengatakan dia benar-benar berjaya.
Ini kerana, bagi bapa kepada tiga cahaya mata itu, perjalanannya untuk benar-benar berjaya masih jauh dan banyak lagi onak dan duri perlu ditempuhinya.
Jenama MP-R yang terkenal dengan beberapa siri produk penjimatan minyak kenderaan iaitu MP-R Fuel Saver, MP-R Extra dan MP-R HD memberi kesan positif kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang mahukan penjimatan minyak, kelancaran pemanduan dan kuasa tambahan dalam pemanduan mereka.
Semua gajet jimat minyak itu berfungsi dengan menstabilkan arus elektrik kenderaan sekali gus memantapkan pembakaran bahan api, melancarkan pemanduan, mengurangkan tekanan terhadap enjin dan menambah kuasa pecut kenderaan.
Kini, syarikat itu me­ngorak langkah dengan memasarkan minyak pelincir kenderaan dengan formulasi tersendiri yang turut bertujuan memberikan prestasi terbaik enjin kenderaan.
Shah berkata, dia kini giat mempromosi produk terbaru keluaran syarikatnya dan berharap terus diterima masyarakat lebih-lebih lagi ia adalah hasil keluaran tempatan.
Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Maxpower Revolution
atau laman web www.mpr4u.my.

Popular posts from this blog

6 PUNCA AIRCOND ANDA TAK SEJUK....NO. 4 KUNCI UTAMA

18 Cara Menjimatkan Minyak Kereta Yang Nampak Mudah Tapi Sangat Berkesan

TESTIMONI PENGGUNA MPR